Thursday, June 3, 2010

Hati cerminkan keperibadian

IKUT rasa binasa, ikut hati mati. Ungkapan ini memberi gambaran bahawa hati adalah komponen penting dalam tubuh manusia.

Perkara itu turut dirakamkan melalui hadis Nabi Muhammad SAW. Daripada Amir, katanya: “Saya mendengar Nukman bin Basyir berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Halal itu jelas dan haram itu jelas dan di antara kedua-duanya ada hal musyabbihat (ada kesamaran di antara halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjaga hal musyabbihat itu, maka dia telah membersihkan kehormatan dan agamanya.

“Dan sesiapa yang terjerumus dalam syubhat adalah seperti pengembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir dia terjerumus ke dalamnya.

“Ketahuilah bahawa bagi setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumi-Nya adalah perkara yang diharamkannya.

“Ketahuilah di dalam tubuh ada seketul daging, apabila ia baik, nescaya akan baik seluruh tubuhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah tubuhnya. Ketahuilah itulah hati." (Hadis riwayat Bukhari).

Setiap benda atau makhluk yang diciptakan Allah berpasang-pasangan. Setiap yang hidup pasti akan mati, yang sihat akan sakit, penyakit pasangannya ialah ubat dan seumpamanya.

Hati mereka yang sejahtera ialah sentiasa disuburkan dengan iman dan takwa. Hati mereka yang sakit akan sentiasa bergelora jiwanya dan jauh daripada rahmat Allah dan keberkatan dalam hidupnya.

Dalam diri manusia ada penyakit yang boleh dilihat, dirasa dan dirawat dengan ubat-ubatan. Ada pula penyakit yang yang tidak dapat dikesan kecuali dengan ‘penglihatan mata hati’.

Perkara itu ialah penyakit ‘keras hati’. Penyakit yang bertakhta dalam diri manusia itu berpunca daripada sikap lalai dan alpa dalam menjalankan tanggungjawab yang menyebabkan hati atau jiwa jauh daripada perasaan takut kepada Allah dan keagungan-Nya.


Antara tanda orang yang mempunyai penyakit ‘keras hati’ ialah:

l Tidak melakukan solat secara berjemaah terutama solat Subuh.

l Meninggalkan al-Quran dalam diari kehidupannya, iaitu tidak membaca, menghayati ajaran yang terkandung di dalamnya.

l Mencari rezeki dengan cara yang haram seperti penipuan, rasuah dan sebagainya.

l Diri dihiasi dengan kesombongan, takabur, bangga diri dan sebagainya.

l Cenderung kepada dunia dengan melupakan kematian dan hari akhirat yang akan ditempuhinya.

l Penglihatan cenderung kepada perkara yang haram.

l Tidak muhasabah diri dan kuat berangan-angan.

l Banyak bercakap, ketawa dan suka berjenaka serta banyak makan dan tidur.

l Suka memarahi tanpa sebab yang diharuskan syarak.

l Suka berdusta, mengumpat dan mencela orang lain.

l Suka hadir dalam majlis yang boleh mencemarkan imej dan merosakkan akhlaknya disebabkan persekitarannya.

l Suka berdendam, hasad dengki dan saling benci membenci.

l Menghabiskan masa tanpa melakukan perkara yang berfaedah.

l Sentiasa mengambil makanan atau minuman yang memabuk dan memudaratkan diri seperti dadah, arak, rokok dan sebagainya.

l Menghiasi kehidupan dengan hiburan semata-mata seperti nyanyian, menonton filem yang melalaikan dan membaca majalah hiburan dan sebagainya.

Itulah sebahagian gejala penyakit hati yang sering menghinggapi diri manusia.

Islam menawarkan rawatan bagi mengubati penyakit itu. Antaranya:

l Mendalami ilmu agama berdasarkan al-Quran dan sunnah.

l Mendampingi al-Quran dengan sentiasa membacanya, menghayati ajarannya dengan khusyuk dan tadabur serta menghadirkan hati ketika membacanya.

l Membaca sirah Rasulullah dan sahabat.

l Sentiasa bersedekah.

l Kasih sayang kepada fakir miskin.

l Kasih kepada ibu bapa dan ihsan kepada kedua-duanya.

l Menghubungkan tali silaturahim.

l Menziarahi orang sakit.

l Melihat dan memandikan jenazah.

l Banyakkan zikir kepada Allah.

l Membangunkan malam dengan qiamullail.

l Rendah diri dan berakhlak mulia.

l Solat berjemaah dan mengamalkan solat sunat dan iktikaf di masjid.

l Memberi salam kepada orang dikenali atau tidak.

l Muhasabah diri.

l Menghadiri majlis-majlis soleh seperti majlis ilmu.

l Menjaga anggota tubuh badannya dari perkara melakukan perkara yang haram dan syubhat.

l Sentiasa berdoa dan bertaubat.

Manusia yang selamat sejahtera hatinya daripada penyakit hati akan bertemu dengan Allah dengan naungan ar-Rahman di akhirat kelak.

Firman Allah bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberi pertolongan sesuatu apa pun, kecuali (harta benda dan anak pinak) orang yang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik." (Surah asy-Syua'ra, ayat 88 - 89).

No comments:

Post a Comment